Saturday, July 22, 2017

MINAT MEMBAWA OMARA DI NOBAT TOKOH BUDAYA PULAU PINANG

Dalam hidup ini untuk menjadi sesiapa jua pun segalanya bermula dari alam kanak-kanak membawa ke  alam remaja dan  seterusnya alam kehidupan. Itulah yang dilalui oleh  Omar Md. Hashim, 63, atau lebih dikenali dengan Omara.

Apa yang dilakukkannya telah mencorak kehidupannya menjadi seorang aktivis seni dan budaya. Walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan serta jatuh dan bangun dalam mengendalikan kegiatan seni dan budaya ini namun beliau terus bertahan dalam dunia itu.
Omara Menerima Anugerah Tokoh
Budaya Pulau Pinang 2016

Berkat kesungguhan beliau berusaha memertabatkan boria dan ghazal parti telah membawa Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Politeknik Seberang Perai menganugerahkan Omara sebagai Tokoh Senibudaya (Boria). Sementara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang telah menganugerahkan Omara sebagai Tokoh Senibudaya Negeri Pulau Pinang pada tahun 2016.

Sesungguhnya pemilihan Omara sebagai Tokoh Senibudaya Pulau Pinang pada tahun 2016 tidak boleh dipertikaikan dan memang beliau berhak dan layak di martabatkan. Beliau bukan saja bergiat sebagai aktivis seni dan budaya malah beliau berusaha mengembangkan dan memertabatkannya.

Disamping dikenali sebagai aktivis seni dan budaya Omara juga adalah bekas wartawan sambilan mengenai seni dan budaya. Menulis buku mengenai P.Ramlee, Beliau juga pernah menjadi penerbit drama dan album lagu malah ada satu dvd khas mengenai boria yang dihasilkan untuk DBP. Beliau juga boleh menulis lirik lagu dan meghasilkan beratus rangkap karangan boria serta pernah menghasilkan skrip drama TV.

Namun apa yang Omara lalui masa kini telah bermula Omara telah memperlihatkan minatnya dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan bermula sejak dibangku sekolah lagi. Ketika di sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kecil, Butterworth ketika di darjah 5 pada tahun 1965, beliau  telah menulis rangkap karangan boria, pelakon sketsa dan sailor dalam persembahan boria.
Omara

Manakala semasa di Sekolah Menengah Dato’ Onn, Buterworth beliau menyertai kumpulan boria sekolah tersebut dan muncul sebagai juara pada waktu itu.  Disamping menyertai aktiviti boria beliau juga giat menulis artikel, cerpen dan puisi sejak di Sekolah Menengah lagi.

Minat itu terus dipupuk sehingga memasuki alam kerjaya di mana beliau bekerja sebagai kerani di Telekom Malaysia disamping  menjadi  Wartawan Sambilan kepada akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Watan, Bintang Timur dan majalah URTV, Variapop dan lain-lain. Pastinya berita dan penulisannya ketika itu menjurus kearah kegiatan kesenian dan kebudayaan.

Kesungguhan beliau menulis dan berhubungan dengan insan seni telah menelurkan niat beliau untuk membukukan kisah P.Ramlee semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Omara telah melakukan penyelidikan mengenai kehidupan masa kanak-kanak dan remaja dengan abang tiri Sheikh Ali dan kawan-kawannya. Buku itu telah menarik minat Datuk Jins Shamsudin untuk membeli manuskrip itu katanya untuk tujuan pergambaran namun sayang tidak menjadi kenyataan.

Selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah Omara telah mula bergiat dalam persatuan memperjuangkan kegiatan kebudayaan dan kesenian  seperti KUMRED SENI, Bukit Mertajam, ANDAYANA, BELIA BISMI, Simpang Empat, Bukit Mertajam dan Kumpulan  Senibudaya dan Drama  Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai.

Penglibatan Omara seni dan budaya tidak terhenti di situ dan beliau mengorak langkah lebih jauh dibidang penerbitan drama ketika RTM mula menswastakan penerbitan drama pada pertengahan tahun 1980an. Beliau berjaya menerbitkan beberapa drama sebelum berhenti  kerana  tidak berani menanggung resiko jika drama di tolak oleh stesyen televisyen tidak banyak stesyen televisyen waktu itu.
Album yang pernah di terbitkan oleh Omara

Namun usaha Omara dibidang seni dan budaya tidak terhenti di situ, beliau memulakan usaha menerbitkan album lagu pula. Beliau berjaya menerbitkan beberapa buah album dan yang paling berjaya adalah Untukmu Hijau Kuning. Omara terpaksa memberhentikan usaha ini kerana tidak mampu melawan aktiviti cetak rompak.

Walaupun berhadapan dengan jatuh bangun dalam penglibatannya sebagai aktivis seni dan budaya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam dunia itu.
Kegigihan Omara untuk memertabatkan seni, budaya  dan warisan bangsa amat terserlah apabila beliau berusaha membina blog Warisan Boria (http://warisan boria@blospot.com), Blog Warisan Ghazal Parti (http://ghazal parti). Dalam usia yang agak lanjut beliau tetap belajar membina blog bagi tujuan mempromosi dan memertabatkan kegiatan seni dan budayanya. Beliau menggunakan kebolehan menulis sebagai wartawan sambilan untuk menghidupkan blognya.

Blog warisan boria dan ghazal parti lazimnya menjadi bahan rujukan para pelajar IPT membuat kajian malah beliau tidak loket masanya untuk bertemu dengan mahasiswa untuk menerangkan lebih terperinci mengenai boria mahupun ghazal parti.
 
Omara Main Boria
Omara  telah mengorak langkah menubuhkan bandnya yang berbentuk santai yang dinamakan galapagos dan telah menerbitkan albumnya. Omara telah berjaya membawa banknya ini menjadi band pengiringi  program TV Saleh Yaakob Show I Follow di Astro Warna sebanyak 20 episod dan mengiringi Datuk Siti Norhaliza dalam Program Bersama Siti terbitan Astro Ria.

Omara juga telah banyak membawa Boria Omara menyertai pelbagai program di TV dan paling terbaharu dalam rancangan TV “MAI BORIA” sebanyak 13 episod untuk RTM.
Disamping bergiat dibidang seni dan budaya Omara juga terlibat dalam pengendalian bengkel mengenai  boria dan ghazal parti di beberapa buah sekolah IPT dan juga Kolej Komuniti.


Kini beliau terus bergiat dengan mempunyai Kumpulan Boria, Band, Ghazal Parti serta satu kumpulan tarian  yang berasal dari Pulau Pinang iaitu tarian Joghee.


VIDEO PENDEK MENGENAI
IKLAN DI PORTAL BLOGGER


KLIK UNTUK KE PORTAL INI





KLIK UNTUK KE PORTAL INI

KLIK UNTUK KE PORTAL INI

KLIK UNTUK KE PORTAL INI





Tuesday, June 13, 2017

MENULIS BAWA SAYA KENAL RAMAI TOKOH

Sejak dari kecil selepas saya tahu membaca dan menulis saya amat suka membaca. Saya membaca apa saja walaupun saya masih di sekolah rendah saya suka membaca akhbar, majalah dan apa saja buku.
Saya dan kawan-kawan bersama Tan Sri Dr. Ibrahim
Saad ketika menghadiri kenduri di rumah beliau.

Abang sulung saya Hashim semasa dia bujang dan bertugas sebagai anggota tentera dia suka membeli novel. Novel-novel yang dia beli dan baca akan dia bawa balik rumah dan simpan dalam almari di rumah. Abang kepada saya pula saya panggil Abang Chit  yang jarak usia kami agak jauh 9/10  tahun kalau tak silap semasa dia bertugas sebagai anggota Polis dan mengambil peperiksaan STPM. Jadi dia sering membeli Dewan Masyarakat, Dian dan sebagainya.

Apa saja yang mereka beli dan simpan di rumah saya baca. Cuba bayangkan semasa saya masih lagi di sekolah rendah saya sudah membaca majalah Dewan Masyarakat selain akhbar harian. Masa saya sekolah rendah saya sudah baca Hikayah Hang Tuah yang beratus mukasurat  dan Keluarga Geriya yang menjadi Teks untuk STPM.

Minat membaca membentuk saya ingin menulis cuba saya tidak tahu bagaimana untuk mencambahkan idea untuk menulis. Semasa saya di sekolah rendah dan menengah tidak ada sebaris ayat yang saya tulis di majalah sekolah. Namun begitu semasa di tingkatan 5 sebelum peperiksaan MCE masa tu saya berangan-angan jika mendapat keputusan baik saya nak sambung pengajian Mass Comunication di UITM.  
Saya bersama Tuan Pengarah Drama
Khalid Sulaiman FDAM di RTM.

Namun rezeki saya tak ada saya hanya mampu mendapat pangkat 3 kerana saya menghadapi masalah kewangan semasa di tingkatan 4 dan 5 dan gagal menumpukan perhatian untuk belajar kerana gagal menjelaskan yuran pengajian setiap bulan. Apabila saya tunggu keputusan MCE saya bekerja untuk menjelaskan yuran sekolah yang tertunggak lebih kurang RM200.00 lebih. Jika saya tidak jelaskan yuran itu keputusan peperiksaan itu saya tidak akan terima.

Apa yang berlaku dalam hidup saya adalah suratan takdir saya yang telah tertulis di loh mahfuz sejak azali lagi. Saya tidak pernah menyesali takdir namun tabiat membaca saya teruskan apabila saya masuk alam pekerjaan dengan bekerja di sektor industri sebagai Junior Technician di Penfibre, Prai. 

Saya pernah berazam yang saya tidak akan kahwin sekiranya saya tidak mendapat seorang anak gadis yang boleh dan sanggup tinggal sebumbung dengan emak saya yang merupakan emak mentuanya. Oleh kerana azam itu saya yakin saya akan sukar menemui jodoh kerana lazimnya para isteri amat sukar untuk tinggal sebumbung dengan emak mentua berbanding dengan emak sendiri. Azam ini saya tanam kerana melihat nasib emak saya yang tidak dipedulikan oleh ayah saya yang kahwin dua tiga orang.
Saya bersama Datuk Rosham Nor, Sifu
Penulisan SkripDrama TV Mazelan Manan
dan Producer Drama TV Khairul

Mungkin kerana azam saya itu baik, Allah telah ketemukan saya dengan isteri saya sekarang semasa saya bekerja di Franklin Porcelian Sdn. Bhd., di Kulim. Ketika itu saya bekerja sebagai Junior Supervisor. Ketika itu usia saya baru 22 tahun dan rasanya masih terlalu awal untuk berkahwin dan saya sasarkan ketika berusia 25 tahun baru saya akan mengakhiri zaman bujang saya.

Alhamdulillah di usia 25 tahun saya berkahwin dan Alhamdulillah pilihan saya adalah tepat isteri saya tidak ada masalah untuk tinggal sebumbung dengan emak saya sehingga emak saya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan ketika isteri saya melahirkan anak pertama negara dilanda kemelesetan ekonomi pada tahun 1986 dan saya kehilangan pekerjaan. Ketika itu jika ada satu kekosongan jawatan beratus orang datang meminta.

Ketika itu saya ada banyak masa disamping itu kegilaan saya main bola juga termati akibat kecederaan di lutut. Masa yang ada saya gunakan untuk menulis pendapat saya diruangan forum, surat pembaca dan sebagainya dipelbagai akhbar. Tulisan-tulisan saya semuannya tersiar.
Saya bersama Pelakon Syed Ali
di lokasi

Ketika saya ghairah menulis yang tidak langsung memberikan sebarang bayaran tiba-tiba saya mendapat tahu Pejabat Belia Bukit Mertajam dengan Kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) ketika itu dipimpin oleh Cikgu Ahmad Abdul Hamid menganjurkan Kursus Penulisan Kreatif Hujung Minggu yang di kelolakan oleh Drs. Darwis Harahap seorang tutor bahasa di USM di Pinang.

Saya mendaftar diri dan hari pertama saya melihat Drs. Darwis Harahap memberikan ceramah saya dah nampak dan saya yakin saya boleh buat. Saya balik dan terus menulis sebuah cerpen yang berjudul “Mencari Cinta” dan saya hantar ke sebuah penerbitan baru yang dikenali sebagai Mingguan Pos Kota.

Alhamdulillah cerpen pertama saya tersiar dan saya beritahu Drs. Darwis Harahap dan dia mengatakan bagus. Hakikat sebenarnya saya mahu dia kritik karya saya kerana saya tahu karya itu tidak sebaik mana. Lalu saya buat satu lagi cerpen yang saya namakan “Nenek Utih”. Cerpen baru ini serta keratan akhbar itu saya bawa menemui sasterawan terkenal Ustaz Azizi Hj. Abdullah yang akhirnya saya panggil “Tukya”. Tukya kebetulan tinggal di Taman Bersatu Kulim dan saya tinggal di Machang Bubok, tidak jauh.

Ustaz Azizi atau Tukya telah mengkritik teruk karya saya itu dan daripada kritikan itu saya dapat apa yang saya cari namun hingga saat ini cerpen ‘Nenek Utih’ tak mampu saya siapkan dan hantar kepada penerbit. Sejak itu saya terus menulis cerpen dan Puisi yang tersiar dalam pelbagai penerbitan. Ketika itu banyak yang tidak mendapat bayaran daripada yang dapat kerana minat saya bertahan.
Saya bersama rakan-rakan Sukri Shawal, Ismail Arifin
di Rumah Rehat Tan Sri Johan Jaafar di Pagoh.

Alhamdulillah berkat kesungguhan saya akhirnya saya di terima menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang. Ketika itu diketuai oleh Pengarangnya Mazelan Manan atau Mazlan Mir. Saya gunakan peluang itu bersungguh-sungguh setiap kali terbit pasti ada satu atau dua cerita saya. Selepas itu saya menyertai Utusan Malaysia kemudiannya Harian Watan. Disamping itu saya juga menulis untuk pelbagai akhbar mingguan dan majalah.

Selepas itu saya mendapat kepercayaan UMNO Pulau Pinang, Pemuda UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bukit Mertajam untuk menerbitkan buletin mereka. Semua ini berlaku di zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (Kini Tan Sri ). Kini saya terlibat dalam penulisan skrip drama TV dan Alhamdulillah saya sedang menulis  skrip filem dan kalau tidak ada aral pergambaran akan dijalankan pada bulan November nanti, In Shaa Allah.


Cerita pengalaman saya sendiri ini membuktikan minat yang diusahakan secara bersungguh-sungguh kita tidak akan letih dan penat walaupun tidak memberikan pulangan kita mampu bertahan dan apabila kita mampu bertahan maka Insha Allah kita akan pergi lebih jauh lagi tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi.












Friday, June 2, 2017

MEMO BLOGGER : RENUNGAN

Minat Mampu Buat Kita Bertahan & Pergi Jauh

Kalau kita ikuti sesi motivasi baik daripada Azizan Othman atau Irfan Khairi malah sesiapa saja kita dapati semuanya menekan minat untuk kita berniaga atau melakukan sesuatu. Jadi ada baiknya kita mengenal pasti minat kita sebelum kita melakukan sesuatu baik hobi, perniagaan atau apa saja.

Setelah kita kenal pasti minat kita dan kita buat sedikit kajian mengenai cara dan potensinya untuk berkembang. Hakikatnya apa saja perkara yang ada dalam dunia masa kini mampu berkembang dan pergi jauh. Kita jangan sekali-kali ikut orang kita lihat sesaorang itu berjaya di sesuatu bidang kita teruja untuk buat perkara yang sama sedangkan kita langsung tidak berminat.

Mengapa semua motivator menekan MINAT menjadi perkara yang paling penting dalam kita melakukan sesuatu. Sekiranya kita benar-benar berminat orang tunjuk kepada kita sikit saja kita dah faham. Kalau kita berminat kita lakukan perkara itu berjam-jam tetapi kita tidak pernah merasa jemu dan penat. Kalau kita berminat dalam sesuatu perkara kadang kala kita sanggup menghabiskan duit yang ada dalam usaha memenuhi minat kita. Malah kalau kita berniaga rugi sikit-sikit kita masih berusaha untuk bertahan.

Inilah kuasa MINAT, yakinlah dengan MINAT akan buat kita bertahan dan pergi jauh. Menyedari itu saya buka blog ini yang dinamakan MINAT. Jika berkesempatan saya berjumpa dengan mereka yang berminat dalam apa jua bidang akan saya ceritakan di sini sebagai sumber motivasi kepada kita dalam meneruskan perjuangan hidup.

Kita jangan ingat minat kita dalam sesuatu perkara dan bidang itu tidak memberikan makna kepada kita. Kalau benar kita berminat dalam sesuatu perkara atau bidang kita terus lakukan dan terus mencari ilmu bab yang kita minati itu tanpa henti dengan bersungguh-sungguh. In Shaa Allah suatu masa atau suatu hari nanti minat yang kita buat secara bersungguh-sungguh tanpa ada noktah akan membawa kita pergi jauh.


Ikutilah blog ini yang akan saya update dari masa ke semasa agar memberi manafaat kepada pembaca dalam membina sesuatu yang bermakna dalam hidup kita.