Tuesday, June 13, 2017

MENULIS BAWA SAYA KENAL RAMAI TOKOH

Sejak dari kecil selepas saya tahu membaca dan menulis saya amat suka membaca. Saya membaca apa saja walaupun saya masih di sekolah rendah saya suka membaca akhbar, majalah dan apa saja buku.
Saya dan kawan-kawan bersama Tan Sri Dr. Ibrahim
Saad ketika menghadiri kenduri di rumah beliau.

Abang sulung saya Hashim semasa dia bujang dan bertugas sebagai anggota tentera dia suka membeli novel. Novel-novel yang dia beli dan baca akan dia bawa balik rumah dan simpan dalam almari di rumah. Abang kepada saya pula saya panggil Abang Chit  yang jarak usia kami agak jauh 9/10  tahun kalau tak silap semasa dia bertugas sebagai anggota Polis dan mengambil peperiksaan STPM. Jadi dia sering membeli Dewan Masyarakat, Dian dan sebagainya.

Apa saja yang mereka beli dan simpan di rumah saya baca. Cuba bayangkan semasa saya masih lagi di sekolah rendah saya sudah membaca majalah Dewan Masyarakat selain akhbar harian. Masa saya sekolah rendah saya sudah baca Hikayah Hang Tuah yang beratus mukasurat  dan Keluarga Geriya yang menjadi Teks untuk STPM.

Minat membaca membentuk saya ingin menulis cuba saya tidak tahu bagaimana untuk mencambahkan idea untuk menulis. Semasa saya di sekolah rendah dan menengah tidak ada sebaris ayat yang saya tulis di majalah sekolah. Namun begitu semasa di tingkatan 5 sebelum peperiksaan MCE masa tu saya berangan-angan jika mendapat keputusan baik saya nak sambung pengajian Mass Comunication di UITM.  
Saya bersama Tuan Pengarah Drama
Khalid Sulaiman FDAM di RTM.

Namun rezeki saya tak ada saya hanya mampu mendapat pangkat 3 kerana saya menghadapi masalah kewangan semasa di tingkatan 4 dan 5 dan gagal menumpukan perhatian untuk belajar kerana gagal menjelaskan yuran pengajian setiap bulan. Apabila saya tunggu keputusan MCE saya bekerja untuk menjelaskan yuran sekolah yang tertunggak lebih kurang RM200.00 lebih. Jika saya tidak jelaskan yuran itu keputusan peperiksaan itu saya tidak akan terima.

Apa yang berlaku dalam hidup saya adalah suratan takdir saya yang telah tertulis di loh mahfuz sejak azali lagi. Saya tidak pernah menyesali takdir namun tabiat membaca saya teruskan apabila saya masuk alam pekerjaan dengan bekerja di sektor industri sebagai Junior Technician di Penfibre, Prai. 

Saya pernah berazam yang saya tidak akan kahwin sekiranya saya tidak mendapat seorang anak gadis yang boleh dan sanggup tinggal sebumbung dengan emak saya yang merupakan emak mentuanya. Oleh kerana azam itu saya yakin saya akan sukar menemui jodoh kerana lazimnya para isteri amat sukar untuk tinggal sebumbung dengan emak mentua berbanding dengan emak sendiri. Azam ini saya tanam kerana melihat nasib emak saya yang tidak dipedulikan oleh ayah saya yang kahwin dua tiga orang.
Saya bersama Datuk Rosham Nor, Sifu
Penulisan SkripDrama TV Mazelan Manan
dan Producer Drama TV Khairul

Mungkin kerana azam saya itu baik, Allah telah ketemukan saya dengan isteri saya sekarang semasa saya bekerja di Franklin Porcelian Sdn. Bhd., di Kulim. Ketika itu saya bekerja sebagai Junior Supervisor. Ketika itu usia saya baru 22 tahun dan rasanya masih terlalu awal untuk berkahwin dan saya sasarkan ketika berusia 25 tahun baru saya akan mengakhiri zaman bujang saya.

Alhamdulillah di usia 25 tahun saya berkahwin dan Alhamdulillah pilihan saya adalah tepat isteri saya tidak ada masalah untuk tinggal sebumbung dengan emak saya sehingga emak saya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan ketika isteri saya melahirkan anak pertama negara dilanda kemelesetan ekonomi pada tahun 1986 dan saya kehilangan pekerjaan. Ketika itu jika ada satu kekosongan jawatan beratus orang datang meminta.

Ketika itu saya ada banyak masa disamping itu kegilaan saya main bola juga termati akibat kecederaan di lutut. Masa yang ada saya gunakan untuk menulis pendapat saya diruangan forum, surat pembaca dan sebagainya dipelbagai akhbar. Tulisan-tulisan saya semuannya tersiar.
Saya bersama Pelakon Syed Ali
di lokasi

Ketika saya ghairah menulis yang tidak langsung memberikan sebarang bayaran tiba-tiba saya mendapat tahu Pejabat Belia Bukit Mertajam dengan Kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) ketika itu dipimpin oleh Cikgu Ahmad Abdul Hamid menganjurkan Kursus Penulisan Kreatif Hujung Minggu yang di kelolakan oleh Drs. Darwis Harahap seorang tutor bahasa di USM di Pinang.

Saya mendaftar diri dan hari pertama saya melihat Drs. Darwis Harahap memberikan ceramah saya dah nampak dan saya yakin saya boleh buat. Saya balik dan terus menulis sebuah cerpen yang berjudul “Mencari Cinta” dan saya hantar ke sebuah penerbitan baru yang dikenali sebagai Mingguan Pos Kota.

Alhamdulillah cerpen pertama saya tersiar dan saya beritahu Drs. Darwis Harahap dan dia mengatakan bagus. Hakikat sebenarnya saya mahu dia kritik karya saya kerana saya tahu karya itu tidak sebaik mana. Lalu saya buat satu lagi cerpen yang saya namakan “Nenek Utih”. Cerpen baru ini serta keratan akhbar itu saya bawa menemui sasterawan terkenal Ustaz Azizi Hj. Abdullah yang akhirnya saya panggil “Tukya”. Tukya kebetulan tinggal di Taman Bersatu Kulim dan saya tinggal di Machang Bubok, tidak jauh.

Ustaz Azizi atau Tukya telah mengkritik teruk karya saya itu dan daripada kritikan itu saya dapat apa yang saya cari namun hingga saat ini cerpen ‘Nenek Utih’ tak mampu saya siapkan dan hantar kepada penerbit. Sejak itu saya terus menulis cerpen dan Puisi yang tersiar dalam pelbagai penerbitan. Ketika itu banyak yang tidak mendapat bayaran daripada yang dapat kerana minat saya bertahan.
Saya bersama rakan-rakan Sukri Shawal, Ismail Arifin
di Rumah Rehat Tan Sri Johan Jaafar di Pagoh.

Alhamdulillah berkat kesungguhan saya akhirnya saya di terima menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang. Ketika itu diketuai oleh Pengarangnya Mazelan Manan atau Mazlan Mir. Saya gunakan peluang itu bersungguh-sungguh setiap kali terbit pasti ada satu atau dua cerita saya. Selepas itu saya menyertai Utusan Malaysia kemudiannya Harian Watan. Disamping itu saya juga menulis untuk pelbagai akhbar mingguan dan majalah.

Selepas itu saya mendapat kepercayaan UMNO Pulau Pinang, Pemuda UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bukit Mertajam untuk menerbitkan buletin mereka. Semua ini berlaku di zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (Kini Tan Sri ). Kini saya terlibat dalam penulisan skrip drama TV dan Alhamdulillah saya sedang menulis  skrip filem dan kalau tidak ada aral pergambaran akan dijalankan pada bulan November nanti, In Shaa Allah.


Cerita pengalaman saya sendiri ini membuktikan minat yang diusahakan secara bersungguh-sungguh kita tidak akan letih dan penat walaupun tidak memberikan pulangan kita mampu bertahan dan apabila kita mampu bertahan maka Insha Allah kita akan pergi lebih jauh lagi tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi.












No comments:

Post a Comment