Saturday, July 22, 2017

MINAT MEMBAWA OMARA DI NOBAT TOKOH BUDAYA PULAU PINANG

Dalam hidup ini untuk menjadi sesiapa jua pun segalanya bermula dari alam kanak-kanak membawa ke  alam remaja dan  seterusnya alam kehidupan. Itulah yang dilalui oleh  Omar Md. Hashim, 63, atau lebih dikenali dengan Omara.

Apa yang dilakukkannya telah mencorak kehidupannya menjadi seorang aktivis seni dan budaya. Walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan serta jatuh dan bangun dalam mengendalikan kegiatan seni dan budaya ini namun beliau terus bertahan dalam dunia itu.
Omara Menerima Anugerah Tokoh
Budaya Pulau Pinang 2016

Berkat kesungguhan beliau berusaha memertabatkan boria dan ghazal parti telah membawa Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Politeknik Seberang Perai menganugerahkan Omara sebagai Tokoh Senibudaya (Boria). Sementara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang telah menganugerahkan Omara sebagai Tokoh Senibudaya Negeri Pulau Pinang pada tahun 2016.

Sesungguhnya pemilihan Omara sebagai Tokoh Senibudaya Pulau Pinang pada tahun 2016 tidak boleh dipertikaikan dan memang beliau berhak dan layak di martabatkan. Beliau bukan saja bergiat sebagai aktivis seni dan budaya malah beliau berusaha mengembangkan dan memertabatkannya.

Disamping dikenali sebagai aktivis seni dan budaya Omara juga adalah bekas wartawan sambilan mengenai seni dan budaya. Menulis buku mengenai P.Ramlee, Beliau juga pernah menjadi penerbit drama dan album lagu malah ada satu dvd khas mengenai boria yang dihasilkan untuk DBP. Beliau juga boleh menulis lirik lagu dan meghasilkan beratus rangkap karangan boria serta pernah menghasilkan skrip drama TV.

Namun apa yang Omara lalui masa kini telah bermula Omara telah memperlihatkan minatnya dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan bermula sejak dibangku sekolah lagi. Ketika di sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kecil, Butterworth ketika di darjah 5 pada tahun 1965, beliau  telah menulis rangkap karangan boria, pelakon sketsa dan sailor dalam persembahan boria.
Omara

Manakala semasa di Sekolah Menengah Dato’ Onn, Buterworth beliau menyertai kumpulan boria sekolah tersebut dan muncul sebagai juara pada waktu itu.  Disamping menyertai aktiviti boria beliau juga giat menulis artikel, cerpen dan puisi sejak di Sekolah Menengah lagi.

Minat itu terus dipupuk sehingga memasuki alam kerjaya di mana beliau bekerja sebagai kerani di Telekom Malaysia disamping  menjadi  Wartawan Sambilan kepada akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Watan, Bintang Timur dan majalah URTV, Variapop dan lain-lain. Pastinya berita dan penulisannya ketika itu menjurus kearah kegiatan kesenian dan kebudayaan.

Kesungguhan beliau menulis dan berhubungan dengan insan seni telah menelurkan niat beliau untuk membukukan kisah P.Ramlee semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Omara telah melakukan penyelidikan mengenai kehidupan masa kanak-kanak dan remaja dengan abang tiri Sheikh Ali dan kawan-kawannya. Buku itu telah menarik minat Datuk Jins Shamsudin untuk membeli manuskrip itu katanya untuk tujuan pergambaran namun sayang tidak menjadi kenyataan.

Selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah Omara telah mula bergiat dalam persatuan memperjuangkan kegiatan kebudayaan dan kesenian  seperti KUMRED SENI, Bukit Mertajam, ANDAYANA, BELIA BISMI, Simpang Empat, Bukit Mertajam dan Kumpulan  Senibudaya dan Drama  Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai.

Penglibatan Omara seni dan budaya tidak terhenti di situ dan beliau mengorak langkah lebih jauh dibidang penerbitan drama ketika RTM mula menswastakan penerbitan drama pada pertengahan tahun 1980an. Beliau berjaya menerbitkan beberapa drama sebelum berhenti  kerana  tidak berani menanggung resiko jika drama di tolak oleh stesyen televisyen tidak banyak stesyen televisyen waktu itu.
Album yang pernah di terbitkan oleh Omara

Namun usaha Omara dibidang seni dan budaya tidak terhenti di situ, beliau memulakan usaha menerbitkan album lagu pula. Beliau berjaya menerbitkan beberapa buah album dan yang paling berjaya adalah Untukmu Hijau Kuning. Omara terpaksa memberhentikan usaha ini kerana tidak mampu melawan aktiviti cetak rompak.

Walaupun berhadapan dengan jatuh bangun dalam penglibatannya sebagai aktivis seni dan budaya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam dunia itu.
Kegigihan Omara untuk memertabatkan seni, budaya  dan warisan bangsa amat terserlah apabila beliau berusaha membina blog Warisan Boria (http://warisan boria@blospot.com), Blog Warisan Ghazal Parti (http://ghazal parti). Dalam usia yang agak lanjut beliau tetap belajar membina blog bagi tujuan mempromosi dan memertabatkan kegiatan seni dan budayanya. Beliau menggunakan kebolehan menulis sebagai wartawan sambilan untuk menghidupkan blognya.

Blog warisan boria dan ghazal parti lazimnya menjadi bahan rujukan para pelajar IPT membuat kajian malah beliau tidak loket masanya untuk bertemu dengan mahasiswa untuk menerangkan lebih terperinci mengenai boria mahupun ghazal parti.
 
Omara Main Boria
Omara  telah mengorak langkah menubuhkan bandnya yang berbentuk santai yang dinamakan galapagos dan telah menerbitkan albumnya. Omara telah berjaya membawa banknya ini menjadi band pengiringi  program TV Saleh Yaakob Show I Follow di Astro Warna sebanyak 20 episod dan mengiringi Datuk Siti Norhaliza dalam Program Bersama Siti terbitan Astro Ria.

Omara juga telah banyak membawa Boria Omara menyertai pelbagai program di TV dan paling terbaharu dalam rancangan TV “MAI BORIA” sebanyak 13 episod untuk RTM.
Disamping bergiat dibidang seni dan budaya Omara juga terlibat dalam pengendalian bengkel mengenai  boria dan ghazal parti di beberapa buah sekolah IPT dan juga Kolej Komuniti.


Kini beliau terus bergiat dengan mempunyai Kumpulan Boria, Band, Ghazal Parti serta satu kumpulan tarian  yang berasal dari Pulau Pinang iaitu tarian Joghee.


VIDEO PENDEK MENGENAI
IKLAN DI PORTAL BLOGGER


KLIK UNTUK KE PORTAL INI





KLIK UNTUK KE PORTAL INI

KLIK UNTUK KE PORTAL INI

KLIK UNTUK KE PORTAL INI





No comments:

Post a Comment